Tuesday, November 23, 2010

MELAYU - ISLAM DAN KUASA

SATU JAM... Tun Mahathir menyampaikan ceramah.

MASIH BERBISA... Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan Bekas Pemimpin No-1 Negara

CHUKAI, 23 November - Sambil merujuk kepada nasib penduduk rantau Timur Tengah, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi memberi amaran kepada masyarakat Melayu negara ini bahawa mereka berhadapan dengan risiko hilang kuasa politik jika terus kekal tidak bersatu.

Mantan Perdana Menteri itu berkata orang Melayu memerintah selama ini kerana mereka adalah majoriti penduduk negara ini.

Malangnya pergaduhan dan pertelingkahan dalaman menyebabkan mereka kehilangan kuasa politik kepada bukan Islam.

“Jika kita berpecah-belah, kita hilang kuasa majoriti kita,” kata beliau dengan merujuk kepada perpecahan kuasa Melayu kepada tiga parti — Umno, PAS dan PKR.

“Saya bukan rasis yang mahu menyemai sentimen kebencian Muslim terhadap bukan Islam tetapi perlu ada perasaan hormat”, “Dan, sebarang rasa hendak hormat hanya datang jika kita kuat dan berkuasa,” katanya ketika menyampaikan syarahan perdana yang bertajuk Cabaran Umat Islam Masa Kini di Dewan Berlian MPK Kemaman.

“Sebelum ini kita hanya bercakap mengenai masalah umat Islam di Timur Tengah, tetapi kini umat Islam di Malaysia juga berhadapan dengan masalah besar,” katanya.

Seolah-olah merujuk kepada kerajaan negeri diterajui Pakatan Rakyat, Dr Mahathir berkata sudah ada contoh seorang Menteri Besar beragama Islam menerima arahan daripada Dewan Undangan Negeri dikuasai masyarakat minoriti.

“Dia dipaksa tunduk kepada kehendak mereka, seolah-olah dia bukan lagi mengambil berat tentang agama dan kaumnya,” katanya.

Beliau berkata umat Islam di negara ini sedang berhadapan dengan cabaran terbesar terutama dalam keadaan umat yang berpecah belah, yang mungkin mengakibatkan Islam kehilangan kuasanya di negara ini.

“Hari ini walaupun Islam menuntut kita bersaudara tapi kita berpecah, sehingga tahap mungkin hilang kuasa,” katanya.

Dr Mahathir yang juga Yang Dipertua Perkim mengingatkan umat Islam agar memikirkan semula tanggungjawab kepada agama, sekalipun tanggungjawab kepada bangsa sudah tidak lagi menjadi keutamaan.

Katanya walaupun jumlah umat Islam di negara ini ramai, tidak mustahil Islam akan kehilangan tempatnya sebagai agama rasmi sekiranya sikap berpecah-belah masih diteruskan.

“Jumlah ramai ini tidak bermakna kalau sudah berpecah belah dan bermusuh antara mereka. Apabila bermusuh, pihak lain berpeluang gunakan permusuhan sesama Islam ini untuk mengutarakan kedudukan mereka, bahkan untuk berkuasa dalam negara.

“Jangan fikir tidak mungkin satu hari nanti khutbah sebut ketua negara bukan Islam kerana mereka telah berkuasa dan kita sudah jadi puak yang kecil, berpecah belah dan tidak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata sudah ramai umat Islam di negara ini yang tidak mengamalkan tingkah laku dan cara hidup seperti yang dituntut dalam al-Quran dan hadis.

Justeru katanya kuasa umat Islam hanya dapat dikekalkan sekiranya umat Islam itu sendiri yang berusaha menyelamatkan agama mereka.

“Berkuasa hari ni tidak bermakna kekal berkuasa di masa depan. Jangan fikir pegangan kita akan terus kekal.

“Ia akan terhakis juga bila kita sudah miskin dan daif. Islam tak suruh kita berpecah-belah, tapi suruh kita bersaudara.

“Tanya kepada diri adakah kita benar-benar berpegang kepada ajaran Islam tentang persaudaraan ini,” katanya.

Turut hadir di majlis ini ialah Dato’ Seri Hj Ahmad Bin Said, Menteri Besar Terengganu.

Dianggarkan lebih 5000 orang yang hadir.


KEMAMAN HARI INI

berita penuh

Monday, November 22, 2010

MAJLIS BERKHATAN BERAMAI-RAMAI

SEIRING... Ahmad seiring berjalan bersama dengan anak-anak yang akan berkhatan.

CHUKAI, 20 Nov – YAB Dato’ Seri Hj Ahmad Bin Said, Menteri Besar Terengganu, telah meluangkan masa bersama-sama dengan anak-anak dari seluruh Daerah Kemaman untuk merasmikan Majlis Berkhatan beramai-ramai.

Majlis ini dianjurkan oleh Pejabat Daerah Kemaman dan telah mendapat sambutan seramai 80 orang peserta berkhatan.

Turut sama hadir ialah YB Dato’ Hj Mohamed Awang Tera, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri Terengganu, YB Ir Rosli Othman, ADUN Kemasik dan Pegawai Daerah Kemaman.





KEMAMAN HARI INI

berita penuh