Monday, April 26, 2010

2000 sertai senamrobik juara rakyat


BERSEMANGAT… YBhg Toh Puan Norliza turut memeriahkan senamrobik bersama masyarakat setempat sempena Program Juara Rakyat

BUKIT KUANG 23 April
Program Juara Rakyat peringkat Daerah Kemaman telah diadakan pada 23 hingga 24 April 2010. Kg Bukit Kuang daripada Dun Kijal dipilih menjadi tuan rumah bagi program yang bertemakan NGO dan swata ini.

Pelbagai acara dirancang bagi memeriahkan program ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjalankan program yang memberi impak kepada golongan sasaran.

Senamrobik menjadi acara sulung dan pembuka tirai bagi program tersebut, dengan dihadiri 2000peserta bersama Ybhg Toh Puan Norliza Binti Mahmud isteri kepada YAB Dato Menteri Besar Terengganu dan turut hadir pengerusi-pengerusi JKKK di Parlimen Kemaman dan ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman.








Dalam sesi pagi program tersebut, turut diadakan program Walkathon bersama rakyat. Toh Puan Norliza berjalan bersama kepimpinan di Daerah Kemaman dan seramai 2000 masyarakat turut menyertai walkathon tersebut.

Setelah berakhir acara tersebut, semua peserta-peserta walkathon dihadiahkan sepohon pokok bunga orkid sebagai tanda kenang kenangan bagi Program JUARA RAKYAT Peringkat Daerah Kemaman ini


KEMAMAN HARI INI

berita penuh

Tuesday, April 13, 2010

MAJLIS TILAWAH AL-QURAN

Peringkat Daerah Kemaman

JOHAN QARI...En Ab Hamid Bin Abdullah dari DUN Kemasik

JOHAN QARIAH...Pn Hapisah Bt Tuan Abu Bakar dari DUN Kijal

CHUKAI 12 April – Seramai sebelas peserta telah memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang terdiri daripada enam orang qari dan lima orang qariah dari sekitar daerah Kemaman.

Majlis Tilawah Al-Quran yang diadakan di Perkarangan Masjid Paya Berenjut telah menarik kehadiran hampir 1000 orang penduduk dari setiap pelusuk daerah Kemaman.

Hanya peserta yang melepasi ujian saringan atau tahsin dan memperolehi markah yang memuaskan akan diperdengarkan bacaannya pada malam berlangsungnya Majlis Tilawah Al-Quran di sini.

En Ab Hamid Bin Abdullah (Kemasik) dan Pn Hapisah Bt Tuan Abu Bakar(Kijal) masing-masing muncul johan Qari dan Qariah dengan markah 80 peratus dan 72 peratus.

Manakala Tempat ke-2 bagi Qari dimenangi En Yahya Bin Hj Ali (Air Putih) dengan markah 74.3 peratus dan Qariah pula jatuh kepada Pn Zah @ Tijah Bt Said (Air Putih) dengan markah 67 peratus.

Sementara itu, En Abd Razak Bin Jusoh (Kemasik) dengan markah 74 peratus dan Pn Saloma Bt Omar (Air Putih) telah muncul sebagai pemanang bagi tempat ketiga bagi Qari dan Qariah.

Johan Qari dan Qariah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 2000.00 dan piala iringan, naib johan menerima wang tunai RM1000.00 dan cenderahati, manakala tempat ketiga pula menerima hadiah wang tunai sebanyak RM800.00 dan cenderahati. Kesemua hadiah-hadiah tersebut adalah sumbangan daripada YB Dato’ Hj Mohamed Bin Hj Awang Tera, ADUN Chukai.

YB Mulia Dato’ Tengku Putera Bin Tengku Awang, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu hadir mewakili YAB MB merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran ini.


KEMAMAN HARI INI

berita penuh

Saturday, April 10, 2010

Ilmu Asas Kekuatan Bangsa

TELITI...Tok Mat bersama YDP PIBG (kiri sekali) meneliti pemplet dan buku minit Mensyuarat.

MESRA...Tok Mat mengambil peluang bermesra dengan ibu bapa yang hadir.


CHUKAI 10 April – Ilmu merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan manusia. Perkembangan dan kemajuan sesuatu bangsa di dunia ini berkait rapat dengan kemajuan dan perkembangan ilmu pengetahuan yang terdapat pada sesuatu bangsa itu sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Usahawan dan Koperasi, Dato’ Hj Mohamed B Hj Awang Tera berkata, “Islam sememangnya telah meletakkan ilmu satu perkara yang penting dipelajari dan perkara ini telah terbukti dalam sirah Rasulullah saw apabila surah yang pertama diturunkan kepada Baginda dimulai dengan bacaan Iqra’ yang bermaksud bacalah (ilmu)”.

“Kerajaan sentiasa meletakkan pendidikan satu perkara yang utama dan para pemimpin kerajaan sentiasa meneroka idea dan alternatif yang baru agar sistem pendidikan yang sedia ada akan melahirkan masyarakat yang bersahsiah dan berdaya saing”.

Tambahnya lagi, “kepentingan didikan ilmu kepada anak-anak tidak seharusnya diletakkan dibahu para guru sahaja kerana ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam memastikan pendidikan anak-anak mereka berterusan terutamanya dalam konteks ilmu fardu ain”.

“Saya percaya, hasil kerjasama yang erat diantara guru dan ibu bapa akan memastikan keputusan peperiksaan bagi UPSR, PMR, SPM dan STPM akan terus cemerlang dan Terengganu akan kekal sebagai sebuah negeri yang mendahului negeri-negeri lain selaras dengan penobatan Terengganu Anjung Ilmu”.

Beliau yang juga ADUN Chukai berucap ketika merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan seri Geliga kali ke 28.


KEMAMAN HARI INI

berita penuh

Monday, April 5, 2010

Agenda Pembangunan Mak Lagam Diteruskan

MESRA...Mohamed mendengar pendapat daripada salah seorang penduduk kampung yang hadir

CHUKAI – Demi kebajikan rakyat, pembangunan untuk keselesaan penduduk kawasan Mak Lagam khasnya dan masyarakat sekitar umumnya akan diteruskan dan dirancang dengan lebih tersusun.

YB Dato’ Hj Mohamed Bin Hj Awang Tera, ADUN Chukai berkata, kemudahan jalan raya akan dibaiki dari masa kesemasa dan lampu jalan akan diperbanyakkan bergantung kepada kesesuaian sesuatu kawasan.

Tambahnya lagi, masalah pembinaan longkang yang tergendala sebelum ini telah diambil langkah segera oleh kerajaan dimana projek berkenaan akan ditender semula tidak lama lagi.

Mohamed juga berkata, kerajaan dalam perancangan untuk membina sebuah lagi masjid baru yang akan di bina di kawasan Mak Lagam bagi memudahkan penduduk Mak lagam dan sekitarnya untuk menunaikan solat terutamanya solat jumaat.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis solat hajat dan ramah mesra bersama penduduk kawasan Mak Lagam.


KEMAMAN HARI INI

berita penuh

Friday, April 2, 2010

JANDA MERANA DI TANAM DI BANDAR BARU.


YAB Dato’ Haji Ahmad Bin Said menanam
pokok Janda Merana (Weepy Willow)



KIJAL
3 April – 100 pokok Weepy Willow atau lebih dikenali sebagai Janda Merana telah di tanam secara rasminya di Bandar Baru Kijal.



Pokok yang berasal dari China itu, sesuai di tanam di tepi sungai dan mampu mencapai ketinggian dari 30 hingga 50 kaki malah daunnya yang berjuntai akan mengeluarkan bunyi apabila di tiup angin.

Majlis ini dirasmikan oleh YAB Dato’ Haji Ahmad Bin Said, Menteri Besar Terengganu bersama isteri, Ketua-ketua Jabatan, badan – badan NGO serta pemimpin UMNO bahagian Kemaman.

Beliau turut mengulas mengenai perkembangan bandar baru seperti hypermarket, perniagaan tekstil serta dryport dijangka akan mula beroperasi pada bulan Ogos 2010 dan pasti akan menjadi tumpuan masyarakat setempat serta pelancong dari luar.





KEMAMAN HARI INI

berita penuh