Saturday, February 12, 2011

Dewan Serbaguna Tiong Hua Siap Dibina

Oleh: Kamarudin Mat Akib / Gambar Oleh Zul Putra


Dewan Serbaguna bagi masyarakat Tiong Hua di Kampung Mak Dayang, Chukai Kemaman sudah siap dan boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan, termasuk riadah dan upacara perkahwinan, dalam tempoh terdekat ini.

Dewan Serbaguna bagi masyarakat Tiong Hua daerah Kemaman yang dibina di Kampung Mak Dayang, sudah siap dan boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan, termasuk riadah dan upacara perkahwinan, dalam tempoh terdekat ini.


Dewan berharga RM4.5 juta itu turut menyediakan kelengkapan gelanggang badminton, futsal dan sepak takraw. Ia juga boleh digunakan sebagai tempat perkahwinan masyarakat tersebut serta pelbagai acara kemasyarkatan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek dan beberapa pegawai kanan kerajaan mengadakan lawatan ke dewan berkenaan hari ini.



Dato’ Seri Liow berkata, langkah kerajaan negeri menyediakan kemudahan tersebut membuktikan betapa Kerajaan Terengganu begitu cakna kepada keperluan masyarakat Tiong Hua.

Beliau berkata, masyarakat Tiong Hua perlu memberi sokongan penuh kepada kerajaan negeri pimpinan Dato’ Seri Ahmad dan mengundi calon-calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.



“Saya amat tersentuh apabila melihat kemesraan Menteri Besar dan Dato’ Ahmad Shabery dengan penduduk tempatan semasa kami sama-sama minum di bandar Kemaman pagi ini,” katanya.

Beliau berkata, sikap ramah dan rendah diri Dato’ Ahmad Said sukar ditandingi pemimpin lain dan sewajarnya penduduk Tiong Hua memberi sokongan penuh kepada beliau.

KEMAMAN HARI INI

berita penuh

KERAJAAN NEGERI PRIHATIN MASALAH KESIHATAN

Oleh: Kamarudin Mat Akib / Gambar Oleh Zul Putra


Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai ditemani Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ahmad Shabery Cheek melawat pesakit di Hospital Kemaman.

Kerajaan negeri prihatin terhadap aspek kesihatan dan perbelanjaan yang besar dikeluarkan pada setiap tahun bagi menambah nilai kemudahan kesihatan yang disediakan Kerajaan Pusat di negeri ini.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tahun lalu peruntukan RM7.6 juta dikeluarkan kerajaan negeri bagi membeli pelbagai peralatan untuk kegunaan Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga mengeluarkan banyak perbelanjaan bagi membiayai rawatan pesakit kronik agar penduduk negeri ini mendapat rawatan terbaik.

Bagi mengatasi masalah kesesakan di Hospital Kemaman pula, katanya, kerajaan negeri telah bersetuju menyerahkan tanah seluas 50 ekar di Bandar Baru Kijal bagi membina sebuah hospital baru.

“Kerajaan negeri akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan bagi memastikan pembinaan hospital baru ini berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai, ke hospital berkenaan, hari ini.

Pada masa yang sama, Menteri Besar mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan kerana peka dan prihatin terhadap masalah yang dihadapi pihak pengurusan Hospital Kemaman dengan meluluskan peruntukan RM10 juta bagi menaiktara kemudahan hospital berkenaan.



Beliau berkata, sudah sewajarnya Kemaman mendapat hospital baru kerana ia merupakan daerah kedua terbesar di negeri ini dan kapasiti penduduk yang agak padat.

Tambahan pula, katanya, Kemaman kini pesat membangun dan merupakan penyumbang ekonomi terbesar negara ini di segi hasil petroleum dan gas.

KEMAMAN HARI INI

berita penuh

Kerajaan Lulus RM10 juta Tingkat Kemudahan Hospital Kemaman

Oleh: Kamarudin Mat Akib / Gambar Oleh Zul Putra


Menteri Kesihatan, Dato' Seri Liow Tiong Lai bersama Dato' Ahmad Shabery Cheek dan Dato' Seri Ahmad Said ketika melakukan lawatan ke Hospital Kemaman.

Kementerian Kesihatan meluluskan peruntukan RM10 juta bagi menaiktaraf pelbagai kemudahan di Hospital Kemaman, dalam usaha menyediakan lebih banyak kemudahan kesihatan dan menaiktaraf kesihatan rakyat, khususnya penduduk di daerah berkenaan.


Kelulusan serta-merta itu dilakukan hasil lawatan kerja Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai, ke hospital berkenaan hari ini, bagi meninjau secara lebih dekat pelbagai masalah yang dihadapi pihak pengurusan hospital berkenaan.

Beliau berkata, sebahagian daripada peruntukan segera itu akan digunakan bagi menyediakan pelbagai peralatan kesihatan, termasuk CT Scan dan pelbagai peralatan untuk dewan bedah.



“Sebahagian lagi akan digunakan bagi mewujudkan wad Unit Rawatan Rapi (UCI) di hospital ini kerana hospital ini belum mempunyai kemudahan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke hospital berkenaan.

Turut serta dalam lawatan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan pegawai kanan Kementerian Kesihatan.

Dato’ Seri Liow berkata, pihaknya prihatin dengan masalah kesesakan di wad hospital berkenaan dan kekurangan doktor pakar dan langkah jangka panjang akan diambil bagi mengatasi masalah tersebut.



Bagi keselesaan pesakit, katanya, kementerian itu akan membina sebuah hospital baru di Bandar Baru Kijal di mana kawasan seluas 50 ekar sudah dikenal pasti bagi tujuan berkenaan.

“Hospital baru ini akan dibina melalui Rancangan Malaysia ke-10 dengan mengambil kira pelbagai kemudahan yang diperlukan, termasuk menambah bilangan klinik-klinik pakar untuk pesakit menerima rawatan,” ujar beliau.

KEMAMAN HARI INI

berita penuh